RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

RAKYAT DIDAHULUKAN,  PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
TANGGUNGJAWAB DI DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR

KENANGAN ABADI...

Thursday, March 11, 2010

Terbukti Keputusan Saya TEPAT

Saya bersyukur sepenuhnya kehadrat Allah swt kerana sudah semakin terang dan jelas terbukti keputusan yang saya buat suatu ketika dahulu untuk tinggalkan wadah politik PKR adalah satu keputusan yang tepat.

Dalam kenyataan media sewaktu saya mengumumkan keluar PKR pada 29hb Oktober 2009 di Hotel Vistana Kuala Lumpur, secara terperinci telah saya jelaskan segala kepincangan pentadbiran dan kepimpinan parti milik Anwar Ibrahim ini.

Namun begitu saya telah dicemuh, dihina, dikeji, dan difitnah oleh hampir keseluruhan ahli ahli dan penyokong Pakatan Rakyat. Pelbagai tohmahan dibuat keatas saya.

Desakan untuk saya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri N46 Pelabuhan Klang begitu kuat sekali.

Demonstrasi lengkap dengan sepanduk dan kain rentang “memaksa” saya lepaskan jawatan ADUN diadakan dibeberapa tempat dalam kawasan DUN N46 Pelabuhan Klang dan ianya telah turut disertai oleh beberapa wakil rakyat Pakatan.

AMK PKR Selangor turut juga mengadakan demonstrasi yang serupa diperkarangan pejabat Setiausaha Kerajaan [SUK] Negeri Selangor.

Berlaku juga insiden dimana wajah saya yang dipamerkan pada sebuah Giant BillBoard terletak di simpang bandar Pelabuhan Klang telah dipangkah dan diconteng oleh Ketua AMK PKR Klang dimana peristiwa itu telah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian.

Demikianlah gambaran betapa marahnya mereka dengan keputusan saya meninggalkan PKR…

Hari ini telah terbukti bahawa keputusan yang saya buat sudah ada pengikut!

Seluruh negara sudah menyaksikan sendiri seramai 4 [empat] Ahli Parlimen, seorang Setiausaha Agung PKR dan seorang mantan Timbalan Ketua Menteri mengumumkan keputusan mereka keluar PKR.

Sekiranya individu-individu seperti Datuk Salehuddin bekas Setiausaha Agung PKR, Yb Dato Seri Zaharin, Ahli Parlimen Bayan Baru dan Yb Zul yang pernah menjadi peguambela Anwar, kesemua mereka ini begitu rapat dan ada hubungan sebagai sahabat karib Anwar Ibrahim pun sudah “hilang kepercayaan”, maka tindakan saya menggunakan perkataan yang sama iaitu “hilang kepercayaan” sewaktu membuat pengumuman keluar PKR terbukti ada asas yang kuat!

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dato Salehuddin, Yb Dato Seri Zaharin Hashim, Yb Tan Tee Beng, Yb Mohsin Fadzli Shamsuri, Yb Zulkifli Nordin dan Mohamed Fairuz Khairuddin diatas keputusan berani mereka. Sekalisgus membuatkan kedudukan bilangan Ahli Parlimen DAP menjadi yang paling ramai dikalangan Pakatan Pembangkang.

Saya menyeru kepada sahabat sahabat yang masih lagi berada dalam ‘kapal PKR’ agar segera membuka mata dan hati untuk membuat keputusan demi masa depan agama, bangsa dan negara kita.

Anwar sudah terbukti menyimpang jauh dari perjuangan asal dan hanya mahu memenuhi cita cita peribadinya menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekali pun. Saya amat tertarik dengan temu ramah eksklusif Dato Salehuddin yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 7hb Mac 2010 yang menyatakan “Anwar sudah kembali ke perangai lamanya..”

Lihatlah sendiri dengan hati yang terang betapa jelasnya kepimpinan Anwar Ibrahim sudah tidak boleh dipercayai lagi oleh sahabat sahabat karib beliau sendiri.

Ditambah pula dengan segala usaha keras Anwar mahu menangguhkan dan tidak berani mendepani Saiful Bukhari Azlan dalan perbicaraan kes liwat, mengizinkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja, seharusnya kesemua kemelut ini sudah cukup untuk membuka minda rakan rakan yang masih berada didalam PKR menilai sendiri siapa sebenarnya Anwar Bin Ibrahim.

Saya tidak akan terkejut sekiranya akan ada lagi pengumuman yang bakal dibuat oleh Ahli Parlimen dan ADUN dari PKR selepas ini.


“Welcome To The Club…”


Yb Tuan Badrul Hisham Abdullah
Ahli Dewan Undangan Negeri
N46 – Pelabuhan Klang

Thursday, February 4, 2010

Syukur.. Akhirnya Perbicaraan Kes Liwat Dato Seri Anwar Sudah Bermula

Pada 3hb Februari 2010, bermulanya perbicaraan kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari setelah lebih setahun tertangguh tangguh.

Sewaktu saya membuat pengumuman rasmi untuk keluar PKR, salah satu faktor yang mendorong keputusan besar tersebut adalah kerana hilang keyakinan kepada kepimpinan Anwar setelah beliau tidak berani berdepan dengan proses Mahkamah dalam kes liwat kali ini.
[boleh rujuk teks penuh kenyataan media saya yang pernah disiarkan pada blog ini di awal terbitan]

Inilah peluang untuk rakyat mendengar sendiri pengakuan dan cerita oleh mangsa iaitu Saiful sudah pasti akan menjelaskan apakah yang sebenarnya telah berlaku.

Semoga dengan berlangsungnya perbicaraan ini akan terlerailah segala yang tersirat dimana khalayak ramai boleh membezakan diantara kebenaran dan pembohongan.

Jikalau penyokong penyokong tegar Anwar mahu mempersoalkan dan memperlekehkan sistem serta institusi kehakiman negara ini, terlebih dahulu mereka mestilah bertanya kepada Anwar kenapakah beliau sendiri ada mengambil tindakan undang undang dengan menyaman beberapa pihak dan individu…?

Sebagai seorang ketua yang mengajak pengikut pengikutnya melaungkan “Lawan Tetap Lawan”, seharusnya Anwar Ibrahim mestilah memegang erat kepada asas ‘Berani Kerana Benar’.

Tetapi selama tempoh yang panjang ini kelihatan Anwar sengaja mencari helah dengan membuat pelbagai tuntutan dari pihak pendakwaraya agar berjaya melengah-lengahkan proses perbicaraan kes liwat beliau.

Tidak ada sebarang sebab untuk beliau mengelak daripada dibicarakan kerana umum tahu bahawa beliau berupaya untuk mendapat khidmat ramai peguam peguam bela yang handal handal dan masyhur dinegara ini.

Bersama samalah kita mendoakan agar perbicaraan kali ini dapat berjalan dengan baik dan akhirnya akan terjawab sudah siapa yang akan berada dipihak yang benar.

Saya sendiri mahu tahu jawapannya.


Yb Tuan Badrul Hisham Abdullah
Ahli Dewan Undangan Negeri
N46 - Pelabuhan Klang

Sunday, January 24, 2010

Anwar Ibrahim Jangan Cuba Bohongi Rakyat Selangor

Semalam terpampang dimuka depan akhbar Sinar Harian bahawa Anwar Ibrahim tidak akan mengambil sesen duit RAKYAT Selangor, ini bererti beliau akan menjalankan tugas sebagai Penasihat Eknomi secara percuma..? Tanpa gaji..?

Bolehkah kita mempercayai jaminan yang diberikan oleh Anwar Ibrahim…?

Terlalu mustahil untuk membolehkan kita mempercayai kata kata dari Ketua PKR ini.

Sebagai bukti, sebaik sahaja Pakatan Rakyat menjadi kerajaan negeri Selangor, Anwar sudah mula membudayakan amalan nepotisme beliau. Semoga rakyat Selangor tidak lupa sejarah, pada tahun 2008 dalam usia kerajaan Pakatan baru beberapa bulan, timbul cerita adik kandung Anwar iaitu Rosli Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat syarikat gergasi GLC Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad [KDEB].

Mujurlah bekas Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd Nor mendedahkan secara terbuka perkara tersebut maka perlantikan itu terpaksa dibatalkan.

Kini, dengan memegang jawatan rasmi sebagai “pentadbir” ekonomi sebuah negeri terkaya, Anwar berpeluang “mengkayakan” kroni kroni beliau. Budaya ini pernah dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan.

Anwar Ibrahim juga terbukti pernah membohongi seluruh dunia apabila mengatakan pada 16 September 2008 beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baru.

Semoga Harta Kekayaan Hasil Bumi Negeri Selangor Darul Ehsan akan dipelihara oleh Allah swt.


Yb Tuan Badrul Hisham Abdullah
Ahli Dewan Undangan Negeri
N46 – Pelabuhan Klang

Thursday, January 21, 2010

Tan Sri Khalid Ibrahim TAK LAYAK Jadi Pengerusi Perhubungan PKR Selangor

Hari ini kita mendapat berita bahawa seramai 11 orang Ajk PKR Cabang Kuala Selangor telah letak jawatan. Ketua AMK dan Ketua Wanita juga membuat keputusan yang sama. Kesemua mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan Khalid Ibrahim.

Tahniah!

Insiden ini memberikan sokongan kepada keputusan yang pernah saya buat pada 29 Oktober 2009 yang lalu…, terima kasih kepada mereka.

Sudah pastinya tamparan ini lebih hebat kepada Menteri Besar Selangor kerana terbukti beliau gagal untuk memimpin diperingkat cabangnya sendiri.

Belum pernah berlaku didalam mana mana cabang PKR di negeri Selangor seorang Ketua ditentang dan ditolak oleh barisan Ajknya sendiri, tetapi malangnya Khalid Ibrahim menjadi mangsa yang pertama.

Oleh itu, keseluruhan kepimpinan PKR disemua peringkat bermula daripada cabang ke negeri Selangor haruslah bersikap jujur untuk memikirkan samada Tan Sri Khalid masih layak untuk menjadi Ketua mereka?

Suatu ketika dahulu MB Selangor ini pernah mengatakan bahawa saya tidak layak untuk menjadi wakil rakyat, padahal sewaktu PRU ke 12 kemenangan saya untuk kerusi N46 Pelabuhan Klang adalah jauh lebih baik bilangan undi majoriti berbanding dengan beliau yang bertanding di N11 Ijok. Saya berupaya meraih majoriti sebanyak 4,407, tetapi Khalid hanya mampu mendapat majoriti 1,920 sahaja….

Dengan insiden yang berlaku serta pergolakan krisis kepimpinan di cabang Kuala Selangor, Khalid Ibrahim TAK Layak untuk menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor.



Yb Tuan Badrul Hisham Abdullah
Ahli Dewan Undangan Negeri
N46 – Pelabuhan Klang

Sunday, January 17, 2010

Terima Kasih Akhbar SINAR Harian

Setinggi tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada akhbar Sinar Harian yang telah menyiarkan sepenuhnya kenyataan Yb Badrul pada 16 Januari 2010 Sabtu.

Penyiaran tersebut juga boleh dibaca menerusi online, http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story6370539.asp

Kenyataan ADUN Pelabuhan Klang itu yang dipetik sepenuhnya dari blog ini

Dari meja Penyelaras Media DUN N46 – Pelabuhan Klang

Friday, January 15, 2010

ANWAR IBRAHIM MESTI HORMATI TITAH SULTAN SELANGOR


Kesemua pimpinan kerajaan negeri Selangor,termasuklah Penasihat Ekonomi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mestilah menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa dinegeri ini, mengharamkan penggunaan kalimah ALLAH oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa sudah memaklumkan titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Tindakan Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR sudah tentu merestui kenyataan rasmi parti berbilang agamanya itu berhubung pendirian mereka dalam isu kalimah Allah ini sepertimana yang dibuat oleh Dr Muhd Nur Manutty, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama [BIPPA] PKR.

Berikut adalah petikan kenyataan BIPPA… “Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka ….”

Sila rujuk di blog Anwar Ibrahim ; - http://anwaribrahimblog.com/2010/01/05/penjelasan-pkr-mengenai-isu-kalimah-%e2%80%9callah/

Anwar yang kini “makan gaji” dengan negeri Selangor tidak seharusnya menyanggah titah Sultan.

Sebagai wakil rakyat dan anak kelahiran negeri Selangor saya menyokong penuh titah baginda Sultan.



DAULAT TUANKU


Yb Tuan Badrul Hisham Abdullah
Ahli Dewan Undangan Negeri N46
Pelabuhan Klang

Saturday, January 9, 2010

Kenapa TIADA Pemimpin Islam PKR & PAS Sertai Bantahan Aman Penggunaan Nama Allah..?

Semalam setelah selesai satu temu janji di sekitar Glenmarie, Yb Badrul telah singgah untuk solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam.

Menyedari ada satu acara BANTAHAN secara aman diadakan selepas solat Jumaat, sebagai seorang muslim yang tidak mahu berkompromi dan setuju dengan keputusan membenarkan nama Allah digunakan oleh bukan islam, maka wakil rakyat N46 Pelabuhan Klang ini telah sama sama menyertai dan memberikan sokongannya.

“Dalam isu ini saya menyokong untuk kita menunjukkan bantahan kita sebagai muslim” katanya kepada seorang wartawan tetapi beliau enggan untuk ditemuramah dalam soal soal yang lain dari isu tersebut.







Yb Badrul diberikan penghormatan untuk bersama sama dengan pihak penganjur membuat kenyataan media…. Turut sama kelihatan ialah bekas Exco Selangor, Datuk Mokhtar Dahlan dan Pengerusi Anak Muda Islam Selangor [AMIS] Encik Johari.

ADUN Pelabuhan Klang berkesempatan untuk bergambar dengan Mufti Besar Negeri Selangor, Dato Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid dan juga bekas Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Dato Onn Ismail.

Dilaporkan oleh Penyelaras Media DUN N46 - Pelabuhan Klang